Gempar Penemuan Rangka Mayat Lengkap Berpakaian… Ustaz Usaha Tutup Aib Si Mati, Jaga Emosi Keluarga.

SETIAP yang hidup pasti akan berakhir dengan kematian.

Namun sebagai manusia kita tidak tahu bagaimanapun pengakhiran hidup kita nanti.

Bagi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah, mereka menyaksikan banyak kematian yang meruntun jiwa.

Antara yang menginsafkan ialah tugasan menguruskan rangka dan tengkorak mayat.

“SPJM diamanahkan untuk menguruskan dua rangka manusia yang tidak dituntut dan diklasifikasikan mayat tanpa identiti di sebuah hospital.

“Ramai yang tidak tahu bahawa proses pereputan mayat lebih mudah dan cepat berlaku di atas permukaan tanah berbanding mayat yang ditanam dalam tanah (dikebumikan),” demikian tulis Pengarah Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di Facebook.

Van membawa jenazah untuk urusan pengebumian. -Gambar hiasan

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, pengurusan dua rangka manusia yang dilakukan skuadnya itu mengingatkannya kepada satu peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan, beberapa tahun lalu.

Menurutnya, terdapat satu rangka manusia lengkap berpakaian ditemukan di tepi jalan besar yang merupakan laluan utama di sebuah bandar di Lembah Klang.

“Lebih menyedihkan apabila keluarga si mati yang saya temui memaklumkan bahawa arwah hilang sejak petang 1 Ramadan dan tidak dijumpai.

“Sehinggalah penemuan rangka mayatnya pada pagi 11 Ramadan iaitu kira-kira 10 hari setelah kehilangannya dilaporkan… Subhanallah,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Rafie berkata proses pereputan berlaku dengan begitu cepat di atas permukaan tanah kerana beberapa faktor, antaranya cuaca yang tidak menentu seperti panas dan lembab.

Selain faktor cuaca, jelasnya terdapat kemungkinan mayat itu juga telah ‘dijamah’ oleh beberapa haiwan liar yang berkeliaran, termasuk serangga seperti lalat dan langau yang lebih mudah untuk membiak dan mempercepatkan proses pereputan mayat.

Persiapan untuk menguruskan jenazah. -Gambar hiasan SPJM

Walaupun jasad yang diuruskan hanya tinggal rangka dan tulang berselerakan, beliau berkata ia tidak menafikan hak si mati untuk diuruskan dengan sempurna.

Bagi kaedah pengurusan jenazah Islam, jelasnya, empat rukun masih wajib dilaksanakan iaitu mandi, kafan, solat dan dikebumikan.

“Bagi proses membersihkan (mandi) rangka mayat, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati. Hanya perlu melakukan air dengan campuran wangian bidara, kapur barus dan cendana ke semua bahagian yang boleh dicapai.

“Setelah itu, rangka mayat disusun mengikut aturan tubuh badan manusia normal bermula dari tengkorak, rusuk, lengan, tulang belakang, hingga ke tulang kaki rangka mayat berkenaan

“Susunan rangka dan tulang tersebut dilakukan di atas tiga helai kain kafan dan diselitkan juga dengan hamparan sehelai plastik besar. Ia bagi mengelakkan kain kafan tersebut kotor atau dicemari najis daripada darah dan organ yang tersisa.

“Kemudian rangka dan tulang berkenaan akan ditutup dengan kapas gulung dalam jumlah yang sesuai di atas jasadnya. Ia bertujuan supaya badan mayat kelihatan seolah-olah masih sempurna dan lengkap sebelum ditutup kain kafannya,” katanya.

Ustaz Rafie mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan.

Tambah Ustaz Rafie, setelah proses kafan selesai sehelai kain batik lepas akan dihamparkan di atas jenazah dan dibalut dengan kemas agar orang yang menziarahinya tidak melihat aib si mati.

“Maka dengan kaedah ini, secara tak langsung mengelakkan kesan trauma yang dahsyat kepada pihak warisnya yang tidak mengetahui atau melihat keadaan sebenar jasad si mati.

“Mereka hanya akan melihat sekujur tubuh yang siap dikafankan dan berbau wangi berbanding keadaan asal mayat yang pasti sukar untuk waris menerima takdirnya.

“Begitulah kaedah yang harus dilakukan setiap pengurus jenazah. Kita perlu memastikan setiap jenazah aibnya ditutup rapat dan perlulah menjaga emosi ahli waris si mati,” katanya.

Untuk rekod, dilaporkan hampir 400 mayat tidak dituntut di hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lembah Klang pada setiap tahun.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Slamber Media

Sumber/ Kredit : MStar

 

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

 

Be the first to comment on "Gempar Penemuan Rangka Mayat Lengkap Berpakaian… Ustaz Usaha Tutup Aib Si Mati, Jaga Emosi Keluarga."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*