”Tanpa Iwan, Saya Tak Mungkin  Berada Di Sini.”-  Amelina.

Penyanyi, Amelina melahirkan penghargaan terhadap penyanyi juga komposer, Iwan Syahman yang mencungkil bakat nyanyiannya menerusi lagu-lagu genre dangdut. 

Amelina, 49, yang mendapat jolokan ‘Ratu Dangdut’ itu ketika ditemui berkata, komposer terbabit memberikan nyawa terhadap karier nyanyiannya menerusi lagu-lagu yang dihasilkan. 

“Saya menyampaikan lagu yang pernah dinyanyi secara duet dengan Iwan. Terima kasih Iwan kerana mencipta lagu ini yang buat saya kekal bertahan sehingga kini,” katanya menerima tepukan penonton yang hadir pada Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Lebih daripada itu, Amelina atau nama sebenarnya, Amelina Amir Sharipuddin turut memilih menyampaikan hadiah pemberian penganjur kepada anak Iwan, Aprena Manrose yang hadir menyaksikan konsert itu. 

“Kalau tiada bapa dia,  saya tak mungkin ada di sini,” katanya lagi. 

Sekitar pertengahan era 1990-an, nama Amelina melonjak naik menerusi lagu-lagu dangdut ciptaan Iwan. Malah, mereka turut berduet menerusi beberapa lagu antaranya Memori Daun Pisang dan dikenali sebagai pasangan duet serasi. 

Menerusi persembahan malam tadi, Amelina menyampaikan tiga lagu iaitu Rindu, Memori Daun Pisang dan Yang Indah Yang Hangat. 

Konsert Milenia 2024 memberikan pengalaman menarik buat peminat kerana menggabungkan penyanyi dari dua negara iaitu Malaysia diwakili oleh Amelina, Mas Idayu, Baby Shima serta Ani Mayuni, manakala penyanyi Indonesia pula ialah Rheyna Morena, Hesty Klepek dan Thomas Arya.

Konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd ini berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 peminat irama dangdut dari Malaysia dan Indonesia.

 

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment on "”Tanpa Iwan, Saya Tak Mungkin  Berada Di Sini.”-  Amelina."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*