‘Pergi Balai Rm300, Bayar Sini Rm100’, PDRM Siasat Anggota Trafik Bagi Diskaun Saman Pada Youtuber UK

Seorang anggota polis trafik dirakam ‘menyaman’ pasangan pelancong yang didakwa memandu melebihi had laju dengan menerima bayaran wang tunai RM100 di lokasi kejadian berbanding bayaran di balai polis sebanyak RM300

Dalam perkongsian di YouTube melalui akaun ‘UK Van Lifers’, kedua-dua mereka yang kini popular di media sosial dalam edisi jelajah Malaysia menggunakan van telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Visual van yang dipandu pasangan itu ditahan oleh anggota polis trafik yang lengkap berpakaian seragam pada minit ke 3:52 dalam perkongsian bertajuk “UK Van Lifers stopped by the polis in Malaysia”.

Dalam perbualan, polis trafik itu mendakwa van tersebut dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada pukul 11.50 pagi.

Pemandu van berkenaan seorang wanita bertanya apa yang perlu mereka lakukan.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya. Boleh? Atau bayar di sini?” soal polis trafik berkenaan.

Wanita itu kemudian berkata, terpulang kepada polis trafik tersebut sama ada hendak memberi surat saman atau membuat bayaran serta-merta.

“Kalau (bayar) di balai polis RM300. Kalau di sini RM100,” kata polis trafik tersebut sambil melihat telefonnya.

Dalam visual tersebut, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

Anggota polis trafik itu kelihatan mengambil wang berkenaan sahaja tanpa memberikan sebarang surat saman.

Malah beliau menolak untuk melihat sebarang dokumen selepas wanita berkenaan membuat tawaran untuk berbuat demikian.

Dalam komen yang dibuat dalam video berkenaan, pasangan itu berkata mereka tidak menyedari telah memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun katanya, membayar secara tunai dengan kadar yang lebih rendah di lokasi kejadian adalah pilihan yang baik berbanding terpaksa pergi ke balai polis dan membayar denda yang tinggi.

“Feel so ashamed, of the cop’s behaviour. Hope he is caught” – Netizen

Sementara itu, ketika artikel ini ditulis video berkenaan telah pun meraih lebih 53K tontonan, 2.4K tanda suka dan 1,191 komen di YouTube.

Kejadian yang menimpa YouTuber berasal dari UK itu menarik perhatian dalam kalangan netizen dari Malaysia.

Rata-rata netizen juga memberikan reaksi pelik dan ada juga yang mendakwa bahawa anggota polis trafik tersebut melakukan jenayah rasuah.

Mereka juga mengingatkan: “Jangan sesekali membayar saman di tepi jalan kalau tidak di balai polis. Kerana semua saman perlu dibayar di balai polis atau menerusi atas talian. Kalau kamu bayar di balai polis, kamu boleh dapat diskaun, tak perlu bayar RM300 tu”.

“Polis itu telah meminta suapan. Dia tidak seharusnya meminta sebarang wang daripada kamu. Saya simpati kamu harus melalui situasi ini. Polis yang memalukan”.

Video:

 

 

Sumber: SAYS Seismik

Be the first to comment on "‘Pergi Balai Rm300, Bayar Sini Rm100’, PDRM Siasat Anggota Trafik Bagi Diskaun Saman Pada Youtuber UK"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*