Bar tawar khidmat ‘tampar pelanggan’

Tokyo: Sebuah bar di Jepun, yang dikatakan hampir ditutup kembali ‘bernyawa’ selepas menawarkan pelanggan dengan ‘perkhidmatan ditampar oleh pelayan’ sebelum mereka menerima minuman dan makanan.

Aseanplus News memetik YouTube berbahasa Cina Save Your Money In Japan, yang memuat naik video itu pada 30 November lalu berkata, bar Shachihoko-ya izakaya itu terletak Nagoya dan pada awalnya, setiap pelanggan menerima tamparan tanpa dikenakan bayaran.

Apabila permintaan untuk tamparan sebelum makan meningkat, bar itu terpaksa mengupah lebih ramai kakitangan wanita untuk melakukan ‘perkhidmatan’ itu.

Pelanggan perlu membayar 100 yen (kira-kira RM3.17) untuk setiap tamparan dan terdapat juga surcaj 500 yen  jika pelanggan meminta kakitangan tertentu untuk menampar mereka, lapor penerbitan media berbahasa Cina Liberty Times Net pada 3 Disember lalu.

Menurut laporan sama, tiada kakitangan lelaki diambil bekerja untuk menampar pelanggan.

Laporan sama menyatakan seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing warga Jepun dan warga asing, pergi ke bar itu bagi merasai sendiri pengalaman berkenaan.

Perkhidmatan menampar muka itu dilaporkan menghidupkan semula perniagaan bar berkenaan.

“Semakin kuat kakitangan wanita menampar mereka, semakin teruja pelanggannya.

“Pengunjung bukan sahaja tidak marah, malah mereka kelihatan lebih tenang selepas ditampar.

“Mereka juga akan berterima kasih kepada kakitangan yang menampar mereka,” katanya dalam video YouTube di saluran Save Your Money In Japan.

Lebih mengejutkan, pelanggan wanita juga mahu ditampar.

Meskipun mendapat sambutan, bar berkenaan sudah menghentikan perkhidmatan berkenaan.

“Shachihoko-ya pada masa ini tidak menawarkan tamparan. Kami menghargai sokongan tetapi kami tidak dapat menampung kunjungan dengan niat untuk menerima tamparan,” ciap Shachihoko-ya di platform X pada 29 November lalu.

 

Sumber : HMetro Online

Be the first to comment on "Bar tawar khidmat ‘tampar pelanggan’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*