Pembedahan selesai, namun Ibnor Riza masih ditidurkan dan dipantau rapi

Kuala Lumpur : Pembedahan di kepala yang dijalani penyanyi era 1980-an, Ibnor Riza, 62, di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, di sini, malam tadi, dimaklumkan berjaya, namun hingga kini dia masih lagi ditidurkan.

Berita gembira ini dikongsikan isterinya, Sarimah Sulaiman, 51, yang memberitahu penyanyi lagu Meneka Dalam Kesamaran itu berada dalam keadaan baik, tetapi masih perlu dipantau rapi oleh doktor yang merawatnya.

“Alhamdulillah, pembedahan suami saya bagi membuang air di kepalanya semalam berjaya dilakukan oleh doktor dan sekarang dia dalam keadaan baik, tetapi masih ditidurkan serta harus dipantau rapi.

“Pada tempoh ini, suami juga tidak dibenarkan menerima kunjungan pelawat, termasuk ahli keluarga sendiri kerana dia memang dalam pemantauan sepenuhnya oleh doktor,” katanya kepada Harian Metro.

Sarimah berkata, dia memohon doa semua yang mengenali dan tahu suaminya itu berjuang menghadapi kanser limfoma tahap empat dihidapi agar terus kuat serta diberikan keajaiban oleh Allah untuk pulih kembali.

“Pembedahan ini sebenarnya boleh dikatakan berlaku secara tiba-tiba selepas tahap kesihatan suami saya turun secara mendadak dan perlu dibedah segera apabila air di kepalanya juga sudah banyak dan perlu dikeluarkan.

“Kini, saya hanya minta doa daripada orang ramai agar suami diberikan kesembuhan oleh Allah SWT. Terus-terang, saya sedih apabila tengok keadaan suami macam ini sekarang,” katanya tidak dapat menahan sebak.

Sarimah berkata, Ibnor sebelum itu mengalami demam berpanjangan sebaik saja selesai menjalani rawatan kemoterapi di HCTM pada awal bulan lalu, selepas dimasukkan ke wad sejak 7 November lalu.

“Selepas buat kemoterapi pada 10 November lalu, suami saya terus demam dan ia berlarutan sampailah sebelum dia menjalani pembedahan, semalam.

“Rawatan kemoterapi itu ada dua sesi, tapi tak dapat diteruskan sebab suami dah mula demam serta turut menyebabkan jangkitan kuman kerana dia pun sudah lama menghidap kanser limfoma dan kuman itu pula merebak ke kepala,” katanya.

Semalam, berita mengenai pembedahan Ibnor dikongsikan penyanyi Nizam Laksamana di Facebook miliknya memohon doa orang ramai untuk sahabatnya itu.

Terdahulu, Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu dan hingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan pusingan serta berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan penyakitnya itu.

 

Sumber : HMetro Online

Be the first to comment on "Pembedahan selesai, namun Ibnor Riza masih ditidurkan dan dipantau rapi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*