Dapat Rasa Pesakit Di Ambang Sakaratul Maut, Doktor Segera Bisik Kalimah Syahadah… Akhirnya Dada Yang Berombak Terus Terhenti

DOKTOR bukan kerjaya yang mudah, jauh sekali untuk mengejar glamor.

Namun peranannya cukup besar dalam masyarakat khususnya berkaitan aspek kesihatan.

Bagi Dr Ahmad Samhan Awang, seorang doktor perubatan popular di media sosial, pengalamannya mengendalikan seorang pesakit sedang nazak kira-kira tiga tahun lalu ternyata memberikan kesan yang amat mendalam.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 2020 apabila menerima satu panggilan kecemasan daripada keluarga di Kuala Terengganu, Terengganu.

“Mak dia dah beberapa minggu sakit tapi tak nak ke hospital. Usianya dalam lingkungan 70 tahun, ada masalah paru-paru.

“Apabila melihat wajah pesakit, saya tengok dia memang struggle untuk bernafas tapi bersedia untuk menghembus nafas terakhir,” katanya kepada mStar.

Seorang pesakit meninggal dunia di rumah. -Gambar hiasan

Tambah Dr Samhan, sebaik melangkah masuk ke rumah pesakit, dia sudah dapat merasakan ‘sesuatu’.

Jelasnya, ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk dihuraikan dengan kata-kata mahupun tulisan, namun begitulah perasaan yang dirasakan apabila ajal pesakit hampir tiba.

“Saya bukan bomoh atau ustaz, ataupun wali apatah lagi kasyaf. Tapi mungkin dah terbiasa berhadapan dengan pesakit yang berada di hujung nyawa.

“Kerjaya doktor selalu berselisih bahu dengan tugas malaikat maut… mungkin,” ujarnya yang turut membuat perkongsian di Facebook miliknya.

Mengimbas kembali momen berkenaan, Dr Samhan yang berpengalaman lebih enam tahun dalam bidang perubatan memaklumkan cabaran terbesarnya adalah untuk memaklumkan perkara sebenar pada keluarga pesakit.

Saya akan sebak dan selalu menitis air mata sebab membayangkan ibu sendiri.

DR SAMHAN

Katanya, anak pesakit memberitahu ibu mereka yang menghidap kanser paru-paru sudah dua hari bernafas laju.

“Saya periksa tekanan darah, denyutan nadi, reflek mata, kandungan gula dalam darah dan paru-paru. Saya tarik nafas panjang. Daripada hasil pemeriksaan, saya maklumkan pesakit dah tak lama. Saya beritahu mereka boleh panggil adik-beradik lain datang dan pakat baca Yasin.

“La ilaha illallah muhammadur rasulullah… saya bisikkan di telinga pesakit. Mulutnya berkumat-kamit. Tiba-tiba dada yang berombak tadi terhenti,” katanya lagi.

Dia kemudian memeriksa nadi, mendengar paru-paru dan mengambil tekanan darah.

“Semuanya tiada. Maaf puan, mak puan dah pergi,” ujar Dr Samhan mengenang kembali perbualan bersama anak pesakit.

Ketika itu juga, hanya jeritan anak memanggil ibu yang kedengaran, “Makkkk!”

Dr Samhan berkongsi pengalaman menerima panggilan kecemasan. -Gambar hiasan

Dr Samhan berkata, semua adik-beradik wanita itu berlari dan terus memeluk ibu mereka yang terbaring kaku, dan dia mengundur ke belakang memberi ruang buat keluarga tersebut.

“Keluarga pesakit sukar nak terima kenyataan. Apabila saya tahu pesakit dah tiada, saya bagi ruang kepada anak-anak arwah untuk peluk ibu mereka.

“Sememang saya akan sebak dan selalu menitis air mata sebab membayangkan ibu saya sendiri,” katanya yang akan menenangkan keluarga pesakit dan memberitahu apa yang sepatutnya perlu dilakukan untuk urusan jenazah.

Setiap kali pemergian sebegitu, Dr Samhan menyedari bahawa anak-anak pesakit tiada lagi tempat untuk mengadu dan melepaskan rindu.

“Tiada lagi berkat doa seorang ibu, semua terputus,” katanya.

Menitipkan pesanan, Dr Samhan berkata, anak-anak seharusnya memastikan ibu bapa mereka diberikan rawatan terutamanya yang menunjukkan tanda-tanda sakit.

“Memang tak dinafikan ada ibu yang dah pesan, kalau dia sakit jangan hantar ke hospital. Sebagai anak, cuba dapatkan rawatan doktor ke rumah sekurang-kurangnya ibu dapat rawatan dan ‘pergi’ bukan dalam kesakitan.

“Hargailah ibu ayah selagi mereka ada. Doa mereka tiada hijab,” katanya lagi.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Slamber Media

Sumber/ Kredit : MSTAR Online

 

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

 

Be the first to comment on "Dapat Rasa Pesakit Di Ambang Sakaratul Maut, Doktor Segera Bisik Kalimah Syahadah… Akhirnya Dada Yang Berombak Terus Terhenti"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*