Ramai LeIaki Cina Sanggup Beratur Panjang PukuI Empat Pagi, SehinggaIah Datang Makcik Ini Buka Meja

” Susah hendak dapat rasa nasi lemak sesedap ini. Bau wangi nasinya dan rasa santannya dipadankan dengan sambal ikan bilis dan sotong serta ayam rendangnya membuatkan saya tidak pernah jemu,” kata Steven Foo, 50.

Steven adalah seorang daripada ratusan pelanggan Rahmah Bujai, 55, yang setia beratur seawal 4 pagi untuk membeli nasi lemak wanita itu di Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Kira-kira 20 minit selepas itu, kelihatan seorang wanita bersama lelaki warga emas tiba dengan menaiki kereta merah membawa pelbagai juadah dengan menu utamanya nasi lemak.

Usai menyusun barangan niaga di atas meja lipat, Rahmah dilihat sabar dan ramah melayan pelanggan membeli nasi lemak.

Pelanggan pelbagai bangsa datang silih berganti, tidak sampai tiga jam, dua tong nasi lemak dan lapan bekas lauk pauknya sudah habis licin.

Menurut Steven, dia menggemari nasi lemak Rahmah berikutan nasi dan lauknya cukup rasa selain kemurahan wanita itu yang tidak berkira dengan pelanggan.

” Saya sanggup bangun 4 pagi beratur panjang semata-mata mahu menikmati keenakan nasi lemak ini,” katanya.

Rahmah yang setia ditemani seorang saudara lelakinya gigih mencari rezeki di tengah kesibukan ibu kota sejak lebih 25 tahun lalu.

Ibu kepada lapan anak berusia antara 15 hingga 30 tahun ini berkata, pelanggannya bukan saja penduduk setempat, malah ada yang sanggup datang dari Puchong, Kajang, Ampang, Damansara, Gombak serta sekitar Lembah Klang.

” Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penduduk setempat, pekerja syif dan penuntut kolej sekitar kawasan ini.

” Ada pelanggan saya bertahun-tahun masih setia datang mencari nasi lemak saya termasuk bekas pelajar kolej kawasan ini,” katanya ketika ditemui.

Ditanya apakah rahsia mengekalkan keenakkan rasa nasi lemaknya hingga digilai peminat setia sejak 25 tahun lalu, katanya pakej ikhlas dan tidak kedekut bahan dalam penyediaan memasak menjadi prinsipnya selama ini.

” Rahsia saya ikhlas semasa masak. Nak tahan niaga lama masak elok-elok biar sedap nanti pelanggan tetap cari.

” Jangan kedekut bahan. Contohnya, sekarang musim bawang mahal tetapi saya tidak kurangkan tetap jaga kualiti.

” Malah, saya yakin rezeki tidak pernah putus dan jualan sentiasa habis berkat saya menggembirakan hati pelanggan disebabkan tidak pernah berkira dan niat berniaga sambil bersedekah,” katanya.

Menurut Rahmah, dia menyediakan 17 kilogram beras bersama lapan jenis masakan lauk yang dianggarkan mampu terjual 200 bungkus nasi lemak setiap hari.

” Biasanya saya masuk dapur 4 petang menyediakan bahan masakan lauk dan sambal sebelum sambung masak nasi dan bihun kira-kira 1 pagi.

” Jam 4 pagi, saya akan keluar dari rumah dan biasanya sebelum 6.30 pagi saya akan pulang ke rumah dan rehat sebentar sebelum ke pasar membeli barang pada tengah hari.

” Biarpun ada kalanya tidak cukup rehat, saya tetap cekal harungi kehidupan di bandar kerana ini saja pendapatan kami sekeluarga memandangkan dua anak di universiti dan anak bongsu masih bersekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelanggan setia, Hasanah Ma’asum, 20, berkata, Rahmah dikenalinya ketika menuntut di kolej berdekatan sebagai seorang yang peramah dan tidak kedekut dengan pelanggannya terutama pelajar.

” Saya menjadi pelanggannya sejak 2017 ketika itu saya belajar di sini. Dia peramah dan sangat tidak berkira dengan kami.

” Sampai sekarang dia masih macam dulu selalu beri lauk dan nasi banyak sampai dua orang boleh makan tetapi harga tetap murah tidak masuk akal.

” Saya paling suka sambal bilis dan sambal kerangnya dari dulu sampai sekarang rasanya tidak pernah berubah,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : Hmetro

Be the first to comment on "Ramai LeIaki Cina Sanggup Beratur Panjang PukuI Empat Pagi, SehinggaIah Datang Makcik Ini Buka Meja"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*