Dada ‘Berombak’ Hidu Serunding Kelapa Mama! 4 Beradik Sebak Dapat Makan Air Tangan Lepas Setahun Ibu ‘Pergi’.

MASAKAN air tangan ibu sudah pasti tiada tandingannya.

Namun selepas ibu dijemput Ilahi, masakannya menjadi antara perkara yang paling dirindui kerana kita tidak mungkin dapat merasainya lagi.

Bagi seorang anak yang melalui sendiri pengalaman itu, serunding kelapa Jawa masakan signature arwah ibunya menjadi menu paling dirindui dia dan ahli keluarga lain.

Bagaimanapun mereka kini dibelenggu sesalan kerana tidak pernah ambil tahu mengenai ramuan yang diperlukan bagi menghasilkan hidangan tradisi itu.

Pemergian ibu akibat masalah jantung.

Berkongsi cerita, Ainee Mohd Juki berkata, ibunya iaitu Allahyarhamah Halimah Salled meninggal dunia pada 22 Jun 2019 di usia 66 tahun akibat masalah jantung.

Menurut wanita itu, arwah ibu cukup dikenali dengan kemahirannya memasak serunding yang merupakan antara hidangan wajib buat keluarga mereka terutama setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Untuk hasilkan serunding ni ambil masa yang lama sebab nak pastikan ia boleh tahan lama. Jadi kami adik-beradik mesti bergilir-gilir bantu mama menggaul untuk elak hangus.

“Apabila anak-anak saudara dah besar, mereka turut sama membantu menggaul. Apabila semua dah penat, mama akan sambung menggaul seorang diri di dapur.

“Nak masaknya lama, tapi apabila dah siap sekejap je habis. Jadi mama akan buat banyak-banyak dan sejuk beku supaya anak cucu boleh ulang makan sepuasnya,” katanya ketika dihubungi mStar.

Kenangan… Ainee (kiri) dan adik-beradik bersama arwah ibu (tengah).

Meskipun kisah serunding menjadi memori keluarga, Ainee mengakui mereka adik-beradik tidak pernah merekod jenis bahan atau sukatan rempah sebenar yang digunakan ibu untuk menghasilkan hidangan itu.

Namun tanpa disangka-sangka, kata wanita berusia 30-an itu, dia terjumpa baki serunding terakhir masakan arwah ibu ketika mengemas peti sejuk di rumah mereka pada Hari Raya 2020.

“Mak masak serunding pada hari terakhir Ramadan 2019. Dia meninggal pada 19 Syawal 2019. Keadaan mak masa Ramadan tahun itu dah tak berapa sihat.

“Tapi masih gigih masak juga sebab serunding ni signature setiap kali raya. Baki serunding pada tahun 2019 ni, mak simpan dalam freezer.

“Saya terkejut apabila tahu masih ada baki serunding mak. Saya panaskan dan rasa elok lagi. Mak dah tak ada, tapi masakan dia masih ada,” ujarnya yang berasal dari Muar, Johor.

Baki serunding terakhir arwah ibu yang dikongsi empat beradik.

Jauh di sudut hati, ternyata perasaan bercampur baur ketika menjamah serunding terakhir air tangan arwah ibu meskipun setelah setahun berlaku selepas pemergiannya.

“Gembira sebab masih dapat rasa air tangan mama, sekali gus mengimbau 1,001 kenangan manis. Sedih kerana sedar ia adalah peluang terakhir untuk mengalami perasaan itu.

“Masakan mama walaupun rasanya seakan-akan sama tapi cetusan emosi tetap berbeza. Sebak kerana sedar, itulah serunding terakhir buat kami adik-beradik,” jelasnya.

Enggan membiarkan resipi serunding tradisi keluarga itu lenyap, Ainee cuba mencari jalan untuk menghasilkannya semula.

Luahan empat beradik mengenai masakan arwah ibu.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, baki serunding terakhir arwah ibunya kemudian dibawa kepada seorang kenalan kakaknya yang merupakan tukang masak bagi merasa untuk menilai jenis bahan-bahan yang digunakan dalam masakan itu.

“Bahannya biasa, lebih kurang sama (dengan resipi lain) tapi yang lebih penting adalah kuantiti rencah untuk mendapat rasa yang betul-betul sama.

Mak dah tak ada, tapi masakan dia masih ada.

AINEE MOHD JUKI

“Syukur Alhamdulillah kami berjaya temui rasa lebih kurang sama. Walaupun mak dah tak ada, kami masih masak serunding ni sebab dah jadi tradisi keluarga,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Ainee yang berniaga secara dalam talian menyifatkan ibunya berperwatakan garang dan tegas tetapi mempunyai sisi lembut yang menjadikannya kesayangan anak-anak dan 13 cucu.

Anak perempuan Ainee di pusara ibu.

Berharap agar kisah serunding arwah ibunya dijadikan sebagai pengajaran, dia memberitahu bahawa masakan ibu turut menjadi pengikat tali silaturahim keluarga dan saudara-mara.

“Semasa menikmati juadah yang ibu hidangkan, nikmatilah dengan penuh muhibah dan hormat-menghormati. Jangan sesekali bertengkar di hadapan masakan ibu. Jangan putus silaturahim antara adik-beradik.

“Seorang ibu sudah cukup gembira melihat anaknya berjaya menjadi manusia yang berguna. Gembirakan ibu dengan mematuhi arahannya, dengar nasihatnya, berbual dengannya dan melayani bebelannya.

“Seorang ibu tak minta wang ringgit, tapi sanggup bergadai agar anaknya tak melarat. Seorang ibu tak minta makan di kedai mewah, tapi sanggup mengikat perut agar anaknya tidak kebuluran,” kata Ainee menitipkan pesanan.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Slamber Media

Sumber/ Kredit : Mstar

 

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

 

Be the first to comment on "Dada ‘Berombak’ Hidu Serunding Kelapa Mama! 4 Beradik Sebak Dapat Makan Air Tangan Lepas Setahun Ibu ‘Pergi’."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*