7 kali nafas terhenti masa tidur sebab alahan, pemuda tetap sukar nak lepas kucing kesayangan!

 

BERAT hati seorang lelaki untuk melepaskan kucing baka British Short Hair Golden kesayangannya kepada orang lain.

Muhammad Hanif Ismail, 34, berkata, atas nasihat doktor dia terpaksa menjual kucingnya yang diberi nama Tatoyen.

Dia yang senang disapa Anip disarankan berbuat demikian disebabkan kesihatannya yang semakin merosot gara-gara alahan dan masalah apnea (gangguan tidur) yang berpunca daripada kucing peliharaan.

“Doktor cakap saya ada masalah gangguan tidur melibatkan nafas terhenti dan alergik. Masa buat ujian, doktor maklumkan saya berhenti bernafas sebanyak tujuh kali setiap jam masa tidur.

“Dalam hidung bengkak sampai kena buat pembedahan pada Mei nanti. Doktor pesan jaga pemakanan dan elakkan bela kucing sebab simptom ni lebih teruk disebabkan alahan bulu kucing.

Anip bersama kucing kesayangannya, Tatoyen.

“Saya terpaksa ikut nasihat doktor. Dia ada berikan sejenis ubat untuk pantau kesihatan saya selama enam minggu disebabkan alahan kucing. Jadi saya terpaksa lepaskan Tatoyen. Lagipun kos rawatan dan ubat-ubatan saya mahal,” katanya ketika dihubungi mStar.

Jelasnya yang berasal dari Yan, Kedah, dia pada awalnya tidak rela untuk melepaskan kucing tersebut walau tahap kesihatannya semakin kritikal.

Posting Anip yang menceritakan tentang kisah dirinya dan Tatoyen tular di TikTok dan pemuda ini mengakui mengalirkan air mata mengenangkan kenangan bersama si bulus yang baru berusia tiga bulan itu.

Menurut Anip, dia mengambil kucing comel berbulu oren dan putih tersebut daripada seorang individu di Melaka dan membayar sebanyak RM2,500.

“Kebetulan masa hujung minggu Januari lalu saya scroll grup kucing. Saya ternampak ada orang iklankan nak jual kucing. Saya berkenan sangat jadi saya terus berbincang dan ambil pada hari sama.

“Jadi memang patut saya sedih sampai menangis sebab sayang nak lepaskan Tatoyen. Masa buat posting tu memang menangis sambil taip. Lepas post tu saya dah tak sanggup tengok komen.

“Saya sebenarnya bimbang kalau bagi dekat orang lain, risau mereka tak pandai jaga macam saya. Tatoyen pula sangat istimewa dan paling bijak pernah saya ada. Perangainya macam anjing sikit. Kalau baling bola, akan pergi kutip bagi saya semula,” katanya.

Menetap dan bekerja dalam sektor awam di Putrajaya, dia berkata sebelum ini pernah memelihara dua ekor kucing baka Parsi pada 2014 di kampungnya di Yan.

Pada masa itu dia tidak mempunyai masalah kesihatan seperti sekarang tetapi haiwan peliharaan tersebut hilang tiga tahun kemudian.

Kata Anip, dia mula mengalami masalah sesak nafas setelah memelihara kucing jalanan pada 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mula bela kucing semula sebab rasa sunyi selepas berpindah ke ibu kota. Tapi disebabkan kesihatan makin teruk jadi saya bagi kucing tu dekat kawan pada 2023.

“Tapi sebab terlalu sunyi dan saya memang pencinta kucing jadi saya pun beli Tatoyen. Tak sangka masalah kesihatan makin teruk walau baru hampir sebulan bela semula.

“Walau tahu ada alahan tapi saya bela juga sampaikan tak boleh tidur sesak nafas. Saya kena ulang alik ke hospital pula sekarang. Jadi terpaksa lepaskannya pada orang lain,” ujarnya.

Tatoyen merupakan kucing baka British Short Hair Golden berusia tiga bulan.

Susulan posting Anip, rata-rata netizen di TikTok memberikan beberapa saranan selain menjual kucing tersebut.

Respons yang diterima membuatkan hatinya berbelah bahagi untuk menjual Tatoyen.

“Ramai bagi kata-kata semangat dan positif suruh saya teruskan jaga Tatoyen sebab diaanggap pembawa rezeki dan boleh doakan tuannya.

“Lagi sedih bila ada yang cakap Tatoyen akan rindu tuannya nanti sebab dalam dunia ni, kucing tu cuma ada kita saja sampai bila-bila.

“Bila baca komen-komen macam tu terus naik semangat nak terus bela Tatoyen walau saya tengah sakit. Ada juga yang cadangkan bagi pada keluarga jadi saya boleh jumpa kalau rindu.

“Buat masa sekarang ni saya tak tetapkan lagi nak jual ke tak kucing tu. Tunggu sikit masa lagi nak tengok apa yang terbaik untuk kami berdua. Saya pun tengah sibuk bekerja dan hadiri kursus,” katanya lagi.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Slamber Media

Sumber/ Kredit : mstar

 

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

 

Be the first to comment on "7 kali nafas terhenti masa tidur sebab alahan, pemuda tetap sukar nak lepas kucing kesayangan!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*