Mamat Exist sekali lagi hadapi dakwaan ambil, miliki dadah

JOHOR BAHRU: Vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, di sini, atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada tahun 2019.

Mamat bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari dan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin, sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, pelantun lagu ‘Untukmu Ibu’ itu didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine, kira-kira jam 2 pagi pada 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Utara.

Mamat juga mempunyai kesalahan berulang mengambil dadah pada tahun 2016 dan 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) akta sama.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil, manakala Mamat diwakili peguam bela, Azlina Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan kedua, Mamat didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram pada jam 11.35 malam di Taman Perling pada 8 September 2019.

Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei, dan Mamat diwakili peguam bela sama.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, peguam bela memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.

 

Sumber : BHOnline

Be the first to comment on "Mamat Exist sekali lagi hadapi dakwaan ambil, miliki dadah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*