8 Sekawan Prakonvo Di Puncak Gunung Pulai

Kuala Lumpur: Demi kepuasan, pemuda ini bersama tujuh rakan lain sanggup mendaki Gunung Pulai, Baling, Kedah bagi merakam detik manis prakonvokesyen.

Muhammad Faizul Mohd Noor, 24, yang juga bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, itu juga impiannya sejak setahun lalu.

“Saya bersama rakan mendaki gunung ini pada 18 November lalu. Insya-Allah, saya akan berkonvokesyen pada Isnin ini dan ada rakan esok. Idea buat pra konvo atas gunung ini timbul tahun lalu.

“Saya pernah nampak orang bergambar dengan jubah atas batu besar macam atas bukit. Saya pun sembang dengan kawan untuk buat prakonvo. Kiranya, setahun simpan niat dengan kawan nak merakamkan momen indah ini atas gunung. Kebetulan saya dengan kawan pula memang suka mendaki,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, dia bersama rakan memulakan pendakian seawal jam 2 pagi sebelum tiba di puncak lebih kurang jam 5 pagi.

“Kami mula naik lebih kurang jam 2 pagi dan sampai puncak dekat 5 pagi. Dalam tiga jam juga naik. Turun pula kami mula jam 9 pagi dan sampai ke bawah dekat 1 tengah hari.

“Memang puas sangat. Sebab yang pertama pemandangan lawa sangat. Kedua, jarang orang buat macam tu. Selalu orang shoot konvo tempat awam yang menarik. Kami ini orang kata buat kerja gila jugalah sebab panjat gunung semata-mata nak prakonvo.

“Bagi kami kepuasan bila habis belajar diraikan dengan suasana yang tenang dan cantik walaupun penat nak naik,” katanya.

Menurutnya, kegigihan mereka dianggap berbaloi apabila ramai memuji hasil gambar yang diambil.

“Nak kata gigih, memang gigih jugalah. Sebab nak kena masukkan jubah dalam beg. Balut dengan plastik jubah tu sebab takut hujan atau kotor. Masa sampai di puncak tu, hujan dan angin kuat.

“Apa pun, kami semua puas bila ramai orang puji sebab hasilnya lawa,” katanya.

 

Sumber : HMetro Online

Be the first to comment on "8 Sekawan Prakonvo Di Puncak Gunung Pulai"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*