“Kes pukul di Chinalah…”

Kuala Lumpur: Rakaman video tular seorang kanak-kanak lelaki dipukul menggunakan kayu serta ditendang bukan kejadian di dalam negara sebaliknya dipercayai berlaku di China.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil carian mendapati video itu dikongsi di Facebook pada 22 November lalu dengan memaparkan kejadian seorang murid lelaki dibuli oleh murid lain yang dipercayai berlaku di asrama sekolah.

“Carian lanjut mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di China berdasarkan video dimuat naik di salah satu saluran berita semasa negara China melalui laman X pada 21 November lalu dan mendapat 106,000 tontonan.

“Semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak menjumpai mana-mana laporan berkaitan kes itu di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menasihatkan supaya masyarakat tidak menyebarkan perkara tidak sahih kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan tindakan seorang kanak-kanak lelaki memukul seorang kanak-kanak lelaki lain menggunakan sebatang kayu.

Perbuatan itu mengakibatkan mangsa menangis dan meraung kesakitan.

Berdasarkan rakaman itu, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang lain.

 

Sumber : HMetro Online

Be the first to comment on "“Kes pukul di Chinalah…”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*