Urus 6 Anak Seorang Diri, Sambil Hadapi Dugaan Banjir

Kuala Nerus: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Ini peribahasa tepat yang boleh digambarkan kepada ibu tunggal bersama enam anaknya yang kini ‘menginap’ di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dekat sini selepas rumah mereka dimasuki air sejak malam tadi.

Apa tidaknya, Junaida Jusoh, 34, dari di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak, terpaksa menguruskan anak berusia tujuh hingga 16 tahun seorang diri selepas suami meninggal dunia secara mengejut tujuh tahun lalu.

“Ini kali ketiga kami terpaksa berpindah ke sekolah ini selepas 2017 dan 2019. Kali ini, air masuk ke ruang dapur dan bilik air mulai malam tadi, selain laluan utama hampir terputus.

“Cuma berbeza sedikit tahun ini kerana negara berdepan pandemik Covid-19, namun, kami sekeluarga tidak begitu bimbang tinggal di PPS ini kerana pihak berkuasa menitik berat dan tidak mengabaikan SOP (prosedur operasi standard), lagipun layanan dan makanan yang diberikan adalah terbaik,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan di sini, hari ini.

Anaknya, Nurul Erni Nabila Muhamad, 15 berkata, walaupun terpaksa tinggal di PPS, dia tetap mengikuti kelas dalam talian dan latihan yang diberikan gurunya seperti biasa.

“Walaupun tidak begitu selesa tinggal di PPS,tetapi tugas sebagai pelajar tidak saya abaikan, namun harap dapat pulang segera ke rumah,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak itu.

Bagi seorang lagi penduduk taman berkenaan, Nurul Naddwa Hassan, 31, berkata, ini kali pertama dia berdepan pengalaman menjadi mangsa banjir.

“Seumur hidup saya, ini kali pertama saya berpindah di PPS. Rasa kurang selesa lebih-lebih lagi ada anak kecil, tetapi perkhidmatan dan layanan yang diberikan pihak bertanggungjawab memang bagus membuatkan tekanan hilang,” katanya yang turut ditemani suaminya, Elmy Efendy Anuyai.

Sehingga petang ini seramai 41 mangsa banjir daripada 12 keluarga termasuk dua bayi ditempatkan di PPS berkenaan.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Masam Manis

Sumber : Harian Metro

 

Be the first to comment on "Urus 6 Anak Seorang Diri, Sambil Hadapi Dugaan Banjir"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*