Kadang-Kadang Cuci Rumah, Kadang-Kadang Kerja Di Ladang Jagung

 

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sejak penghujung tahun lalu sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak syarikat mahupun organisasi terjejas teruk.

Keadaan ini sekaligus mengakibatkan ramai yang kehilangan pekerjaan susulan langkah syarikat masing-masing yang mahu menjimatkan perbelanjaan.

Antara yang turut terkesan termasuklah wanita ini, yang terpaksa mengambil inisiatif lain bagi mencari sumber pendapatan.

Kisahnya menjadi tular di media sosial selepas dia membuat perkongsian di Twitter, dengan menawarkan perkhidmatan membersihkan rumah di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak.

Perkongsian tersebut yang meraih sehingga 2,500 retweet turut mendapat reaksi netizen yang kagum dengan semangat dan sikapnya yang tidak berputus asa dalam mencari rezeki.

Salah sebuah rumah klien yang menggunakan perkhidmatan Shahirah.

Berkongsi cerita dengan mStar, Shahirah Zaidi berkata dia mula melakukan perkhidmatan pembersihan pada bulan lalu, selepas mengambil cuti tanpa gaji daripada pekerjaannya di sebuah syarikat penerbangan di Kuala Lumpur.

“Pada mulanya, syarikat menawarkan dua pilihan sama ada ambil cuti tanpa gaji ataupun pemotongan gaji. Mula-mula saya pilih pemotongan gaji, namun pada September lalu, saya ambil cuti tanpa gaji.

“Ini kerana saya mahu melakukan kerja sampingan lain. Rancangan awal adalah mahu membuka restoran bersama ibu di Ipoh kerana ibu pandai memasak.

“Tapi bila difikir, ia agak sukar pada masa ini kerana PKPB. Ibu beri idea, katanya mengapa tidak saya mencuba buat perkhidmatan pembersihan. Jadi saya pun cuba-cuba. Kini dah sebulan saya buat servis berkenaan,” kata wanita berusia dalam lingkungan 20an ini.

Shahirah menawarkan perkhidmatan membersihkan rumah klien di sekitar Ipoh, sejak sebulan lalu.

Menurut Shahirah yang sebelum ini bekerja sebagai Pegawai Penumpang, servis yang ditawarkannya adalah seperti membersihkan rumah, perkakas seperti kipas, membersihkan halaman, mengecat dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, Shahirah mendedahkan dia juga bekerja di sebuah ladang jagung pada masa-masa tertentu.

Mungkin bagi sesetengah orang pekerjaan yang dilakukan Shahirah nampak memenatkan, namun wanita ini berkata, ia adalah bidang tugas yang biasa dilakukan oleh wanita.

 

Ibu beri idea, katanya mengapa tidak saya mencuba buat perkhidmatan pembersihan. Jadi saya pun cuba-cuba. Kini dah sebulan saya buat servis berkenaan.

SHAHIRAH ZAIDI

“Kalau ada kemahuan, semua benda pun wanita boleh buat. Tak adalah memenatkan sangat pun. Bagi saya, ia masih dalam kategori mengemas iaitu perkara yang biasa dilakukan oleh wanita.

“Saya tidak ada bakat dalam menghasilkan kek atau memasak, sebab itu pilih ‘bidang’ lain. Perancangan untuk buka restoran pun kalau diizinkan, ibu saya yang akan memasak,” ujarnya.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Shahirah mengharapkan agar ia sedikit sebanyak menjadi inspirasi buat individu lain khususnya yang sedang terkesan, agar tidak berputus asa mencari rezeki.

Selain membersihkan rumah, Shahirah mendedahkan dia juga bekerja di ladang jagung ketika masa-masa tertentu.

“Keadaan sekarang, rata-ratanya terkesan. Cuma jangan ikutkan perasaan… benda ini boleh buat seseorang ‘down’ dan tak mustahil cenderung melakukan tindakan tak sepatutnya. Fikirlah secara rasional dan kawal perasaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahirah juga berharap agar impiannya untuk membuka sebuah restoran bersama ibu akan terlaksana satu hari nanti.

“Perancangan buka restoran ini adalah kerana mahu penuhi impian ibu. Ibu memang pandai memasak terutama masakan tradisional. Harap-harap ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti,” katanya lagi.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Masam Manis

Sumber : Mstar

 

Be the first to comment on "Kadang-Kadang Cuci Rumah, Kadang-Kadang Kerja Di Ladang Jagung"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*