‘Lagi banyak dihina daripada dipuji’

Kuala Lumpur: “Siapalah nak pandang perempuan kerja pengawal keselamatan, lagi banyak dihina daripada dipuji,” kata Nurul Ezzaty Halim menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Perkongsian Nurul Ezzaty, 21, itu kemudiannya tular di media sosial dan kebanyakan warganet di ruangan komen memuji kesungguhannya yang tidak memilih pekerjaan.

Bagi anak bongsu dari empat beradik itu, peluang kerjaya dalam bidang berkenaan tidak seharusnya disia-siakan apatah lagi menyedari kesukaran mendapat pekerjaan tetap ketika ini.

“Selepas bapa meninggal dunia, saya nekad ingin berdikari demi menyara ibu dan mencari pendapatan sendiri.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya memang meminati kerjaya dalam bidang uniform tetapi tidak ada rezeki untuk menjadi anggota perkhidmatan awam seperti polis.

“Syukur di atas peluang ini, sekurang-kurangnya saya masih ada kerja walaupun tidak dipandang gah seperti anggota polis,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang berasal dari Baling, Kedah berkata, dia nekad berjauhan dengan keluarga disebabkan tidak banyak kekosongan kerja di kampung halamannya.

“Pada mulanya saya cuba cari kerja berdekatan lokasi rumah tetapi sayangnya susah mendapatkan kerja di sana kerana jauh dari bandar.

“Kebanyakan penduduk di sana juga ramai ke luar negeri bagi mencari pendapatan bulanan.

“Skop kerja sebagai pengawal keselamatan ini hanya jalankan tugas waktu kerja saja, balik rumah tidak perlu serabut memikirkan masalah di tempat kerja,” katanya.

Dia yang sudah bertugas sebagai pengawal keselamatan lebih setahun di sebuah kilang di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang berkata, bidang tugas pengawal keselamatan bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Kami bertanggungjawab atas sebarang masalah dan apa-apa barangan yang hilang di kilang serta memantau setiap barangan yang masuk dan keluar daripada kilang.

“Gaji yang diperoleh juga mencukupi bagi menanggung komitmen diri dan keluarga.

“Walaupun bertugas lima hari seminggu dan hampir 12 jam sehari tetapi saya seronok bekerja apatah lagi ada rakan setugas yang banyak memberi sokongan emosi jika terlalu penat,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka perkongsiannya di akaun TikTok miliknya tular sehingga meraih lebih 119,000 tontonan, 14,000 tanda suka dan 1,000 komen setakat ini.

Katanya, video itu dimuat naik hanyalah sekadar berkongsi pengalamannya menjadi pengawal keselamatan dan berharap ia tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Masam Manis

Sumber : Harian Metro

 

Be the first to comment on "‘Lagi banyak dihina daripada dipuji’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*