Mufti Melaka benarkan solat fardu, Jumaat di masjid

Melaka: Mufti Datuk Wira Abdul Halim Tawil hari ini membenarkan umat Islam di negeri ini menunaikan solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

dilaksanakan selama empat minggu mulai esok.

Bagaimanapun, jemaah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengambil wuduk di rumah, solat dalam keadaan jarak satu meter dan memakai pelitup muka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka berkata, kelas takmir, kuliah subuh, kelas ilmu berskala kecil dan majlis bacaan surah Yassin pada malam Jumaat juga dibenarkan berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, ceramah Maulidur Rasul dan ceramah jemputan rentas negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Jabatan Mufti Melaka juga tidak membenarkan jamuan makan selepas kelas takmir atau bacaan surah Yassin, sebaliknya jemaah hanya dibenarkan membawa pulang makanan disediakan di masjid atau surau.

Mengenai urusan pernikahan di masjid dan surau, beliau berkata, ia tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pendaftar Perkahwinan Daerah masing-masing.

Jabatan berkenaan sebelum ini ada mengeluarkan arahan masjid dan surau ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 11 Jun lalu.

Bagaimanapun, solat berjemaah dibenarkan semula di semua masjid dan surau pada 12 Jun lalu berikutan pelaksanaan PKPB.

 

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Masam Manis

Sumber : Harian Metro

 

Be the first to comment on "Mufti Melaka benarkan solat fardu, Jumaat di masjid"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*