Dapat tugasan melalui WhatsApp, pelajar perlukan 5 jam, 3 alat hasilkan potret PM yang wow!

 

BAGI pelajar sekolah mahupun universiti, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk ke fasa kelima bukanlah waktu bagi mereka untuk bercuti.

Pasti ada tugasan yang diberikan oleh pensyarah mahupun guru yang perlu dilakukan.

Begitu jugalah yang dialami oleh seorang pelajar tingkatan 6, Suriani Arjunaidi yang mendapat tugasan daripada gurunya melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis lalu.

Bercerita kepada mStar, Suriani memberitahu bahawa setiap minggu, guru subjek Pendidikan Seni Visual, Cikgu Tasruddin akan memberi tugasan kepada pelajarnya.

Suriani berjaya menghasilkan potret perdana menteri dalam tempoh lima jam.

“Setiap minggu dia akan bagi kerja rumah semenjak PKP berkuatkuasa.

“Tema yang diberikan berlainan pada setiap minggu seperti membuat lukisan karikatur, gelas, pasu ataupun buah-buahan.

“Minggu ini kami dikehendaki untuk melukis potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujar gadis berusia 19 tahun itu.

Suriani merupakan pelajar Tingkatan 6 di Klang High School, Selangor.

Tambahnya lagi, ini merupakan kali pertama dia menghasilkan lukisan potret dan tidak menyangka lukisan tersebut mendapat perhatian netizen.

“Sebelum ini kalau saya lukis muka, saya hanya lukis bahagian tertentu sahaja seperti mata, hidung untuk meningkatkan kemahiran saya.

“Potret perdana menteri tu saya siapkan dalam tempoh lima jam dengan menggunakan peralatan seperti pensel 2B, pensel 8B, pemadam dan juga putik kapas,” jelas Suriani yang kini menuntut di Klang High School, Selangor.

Mengulas lanjut mengenai lukisan potret tersebut, anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu bahawa dia terlebih dahulu membuat sedikit ulang kaji sebelum menghasilkan potret itu.

Antara hasil kerja Suriani.

“Saya ingat balik tutorial yang cikgu ajar dan tonton beberapa video di YouTube untuk menghasilkan lakaran potret.

“Bahagian yang paling lama untuk disiapkan adalah mata kerana bagi saya, mata sangat memainkan peranan pada sebuah lukisan potret. Kalau saya tengok sesebuah lukisan pun, saya akan perhatikan matanya terlebih dahulu.

“Agak sukar untuk melakar potret orang tua berbanding orang muda kerana kedutan di wajah perlu diterjemahkan secara terperinci dengan garisan tebal dan halus,” ujarnya yang bakal menyambut ulang tahun yang ke-19 pada 13 Mei ini.

Mata sangat memainkan peranan pada sebuah lukisan potret. Kalau saya tengok sesebuah lukisan pun, saya akan perhatikan matanya terlebih dahulu.

SURIANI

Ketika ditanya tentang bakat terpendamnya itu, Suriani mendedahkan bahawa dia hanya belajar lukisan di sekolah serta menonton video di YouTube.

“Saya tak pernah belajar di tempat lain selain daripada apa yang cikgu ajar di sekolah.

“Mungkin darah seni tu memang dah ada sebab ibu saya merupakan seorang tukang jahit manakala kakak saya pula mengusahakan perniagaan kek,” jelas Suriani yang gemar melakukan lukisan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Perkongsian Suriani mendapat perhatian warga Twitter.

Lakaran wajah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dimuatnaik Suriani di laman Twitter sehingga kini mendapat hampir 10,000 retweet dan 26,600 tanda suka daripada netizen yang rata-rata memuji hasil kerja tersebut.

“Cantiknya, aku kalau lima tahun pun belum tentu jadi macam ni,” tulis seorang gadis.

“Bestnya pandai lukis, saya pandai lukis orang lidi je,” tambah netizen lain.

“Kening TSMY lagi elok dari kening aku…” ujar pengguna Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Slamber Media

Sumber : MSTAR

 

Be the first to comment on "Dapat tugasan melalui WhatsApp, pelajar perlukan 5 jam, 3 alat hasilkan potret PM yang wow!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*